Oleksandr Zinchenko mendedahkan dia pernah ditertawakan oleh rakan sepasukan Arsenal apabila mengatakan kelab itu mampu mencabar mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Gunners meneruskan cengkaman mereka di puncak liga dengan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Manchester United hasil jaringan kemenangan Eddie Nketiah pada masa kecederaan, awal pagi tadi.

Keputusan itu meletakkan anak buah Mikel Arteta tersebut berlebihan lima mata di hadapan bekas majikan Zinchenko merangkap juara bertahan, Manchester City, malah Arsenal juga memiliki satu perlawanan di dalam tangan.

Menggambarkan kejayaan lewat di Stadium Emirates itu sebagai satu lagi kutipan tiga mata penting, pemain antarabangsa Ukraine berkenaan menggalakkan rakan sepasukannya agar menikmati detik manis ini biarpun pada mulanya mereka meragui keupayaan sendiri.

"Sebelum perlawanan, saya berkata kepada rakan sepasukan, 'Apabila bersara kelak, kita akan menyesal kalau kita tidak cukup menikmati detik ini'," katanya kepada TV Premier League.

"Semua orang sedar bahawa kami masih mempunyai banyak perlawanan lagi untuk ditempuhi dan kami akan melangkah setapak demi setapak. Mentaliti dan semangat ketika ini adalah tepat. Itu kuncinya.




“Sudah tentu, masih terdapat banyak ruang untuk diperbaiki tetapi kami menuju ke arah yang betul. Ketika baru tiba di sini, berdasarkan kualiti yang saya lihat, saya menyedari bahawa kami mempunyai segala-galanya untuk mencapai perkara yang penting.

"Saya mula bercakap di bilik persalinan bahawa kami perlu memikirkan tentang gelaran. Beberapa pemain dalam kalangan kami ketawa, tetapi sekarang tiada siapa lagi yang mengetawakannya."

Zinchenko berpeluang sekali lagi berdepan City dalam pertemuan pusingan keempat Piala FA minggu ini sebelum Arsenal memulakan kempen bulan depan dengan menentang kelab bergelut, Everton.