Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, berpandangan keputusan perseorangan profesional, Lee Zii Jia, bersetuju untuk berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebagai satu situasi menang-menang buat kedua-dua pihak.

BAM sebelum ini membuka ruang untuk barisan pemain profesional negara berlatih di ABM dan Zii Jia difahamkan menjadi individu pertama bersetuju dengan tawaran itu.

Kenny berharap kehadiran Zii Jia ke ABM dapat membantu kedua-dua pihak untuk lebih maju ke depan, sekali gus memesatkan perkembangan sukan badminton di negara.

"Akan ada situasi menang-menang buat pemain profesional dan pemain yang berada di BAM," katanya kepada Nadi Arena.

"Dengan kehadiran Zii Jia, sudah tentu ia akan memberikan banyak manfaat buat pemain-pemain kami.

"Bagi Zii Jia pula, dia boleh mendapatkan suasana yang berlainan kerana dia dapat bermain dengan pemain yang memiliki pelbagai ragam dan teknik.

"Ia bolah dikatakan satu perkembangan yang sihat," katanya.