Nama Zhafri Yahya mula meniti di bibir pencinta bola sepak Malaysia rentetan aksi konsisten bersama KL City FC musim lalu -- khususnya ketika jadi watak utama menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) di pentas akhir Piala Malaysia.

Kualiti dan kesempurnaan yang diperagakan pemain sayap The City Boys itu turut membawanya berada dalam kalangan pemain elit negara di kem Harimau Malaya -- jadi tidak hairanlah Zhafri diberikan tumpuan untuk jadi watak utama kejayaan di final Piala AFC Sabtu ini.

Debaran semakin memuncak bagi pertemuan getir bertemu Al-Seeb, Zhafri berkongsi rahsia di sebalik aksi konsistennya serta menawarkan perspektif tersendiri lawan dari Oman itu.

"Jurulatih (Bojan Hodak) seorang yang sangat berdisiplin, dia mahukan kami mengelak daripada melakukan kesilapan. Dia memiliki strategi tersendiri bagi setiap perlawanan dan sentuhannya cukup berhasil," kata Zhafri.

Turut menikmati detik manis beraksi bersama Zhafri yang berada di kemuncak prestasi -- penggempur utama, Romel Morales malah penjaring terbanyak Piala Malaysia itu mempunyai formula untuk menyinar di pentas final.

"Kami telah bermain bersama sejak musim lalu dan kehadiran pemain seperti Zhafri amat baik kerana dia sering melakukan hantaran silang yang baik," kata Morales.

"Kami sentiasa mempamerkan peningkatan dan ia amat baik buat KL City."