Ketua pasukan Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Radzak, berharap pemain import yang bakal menyarung jersi pasukan musim ini mampu memenuhi kualiti seperti yang diharapkan.

Penyerang berpengalaman itu menjelaskan tugas pemain import adalah untuk menguatkan pasukan.

Namun, jika ia tidak berlaku, sewajarnya pasukan mengutamakan khidmat pemain tempatan menjelang musim baru Liga Malaysia (Liga-M) bulan depan.

"Pemain import harus lebih bagus daripada pemain tempatan baik dalam aspek kemahiran teknikal, kecergasan dan pengalamannya.




"(Keupayaannya) perlu lebih daripada pemain tempatan, kalau tidak lebih baik pakai pemain tempatan.

"Pemain import perlu sekepala dengan pasukan, kalau tidak susah atau boleh menyebarkan penyakit kepada pasukan.

"Apabila tidak serasi, ia boleh mengganggu keharmonian pasukan," katanya sebelum berdepan perlawanan ujian dengan Penang di Paroi, malam ini.

Setakat ini, pihak pengurusan skuad Jang masih berteka-teki mengenai senarai pemain import bagi menghadapi cabaran musim depan, tetapi seramai 14 pemain tempatan sudah ditandatangani termasuklah bekas penyerang Selangor, Shahrel Fikri Fauzi, serta bekas pertahanan skuad kebangsaan, Mahali Jasuli.