Juventus terus dirundung malang apabila mengalami kekalahan 1-0 kepada Atalanta di laman sendiri.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri ditewaskan Chelsea 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Rabu lalu dan gagal untuk bangkit dengan kemenangan di Stadium Allianz.

Duvan Zapata menjaringkan gol tunggal perlawanan pada pertengahan separuh masa pertama, mengambil kesempatan atas aksi kurang cemerlang barisan pertahanan Juve untuk menjaringkan gol kesembilan dalam saingan liga musim ini.

Paulo Dybala hampir menyelamatkan satu mata pada masa kecederaan namun percubaannya menerusi sepakan percuma terkena palang ketika mereka terpaksa akur dengan kekalahan kelima dalam aksi Serie A bagi musim 2021-22.