Sentuhan jurulatih baru, Zainal Abidin Hassan, memastikan Penang mengecapi kemenangan sulung musim ini tetapi masih belum cukup untuk keluar daripada zon bahaya Liga Super.

Kemenangan 2-1 itu -- dalam perlawanan tunggal Liga Super di Stadium Bandaraya malam ini -- juga meleburkan rentetan tiga kemenangan liga milik Terengganu.

Pemain import baru Harimau Kumbang, Hilal El-Helwe, turut tidak mengecewakan apabila memberikan gol pendahuluan pada minit ke-23 sebelum Terengganu rancak memberikan saingan dalam separuh masa kedua.

Ia menyaksikan Faisal Halim menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-48 tetapi jaringan T. Saravanan menggamatkan semula penyokong tuan rumah apabila mengembalikan kelebihan Penang 2-1, dua minit kemudian.

Kemenangan itu menyaksikan Penang menduduki tangga ke-11, satu mata di belakang Sri Pahang dan Melaka United.

"Keadaan sekarang amat menggembirakan kami kerana mengutip kemenangan pertama.

"Apa yang lebih menggembirakan saya ialah kesungguhan pemain yang berikan usaha 200 peratus dan semangat berpasukan yang begitu baik," kata bekas jurulatih Melaka musim lalu itu selepas perlawanan.





Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, pula tidak berselindung dengan kepincangan pasukannya yang gagal menjelmakan prestasi seperti ketika membenam Kuala Lumpur City, minggu lalu.

"Penang memang patut menang, Terengganu buat permulaan yang sangat lembab dalam babak pertama.

"Bagaimanapun, pemain curahkan lebih banyak usaha dalam separuh masa kedua, mereka terus mencuba.

"Tapi kami lepaskan gol kedua terlalu cepat, lagipun Penang bertambah semangat bermain di depan penyokong sendiri.

"Pemain telah berikan yang terbaik tapi saya rasa kami tidak bermain seperti sedia kala.

"Pergerakan kami agak perlahan, tidak cukup sementara Penang berikan usaha tambahan," katanya.