Pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka, diuji positif koronavirus ketika menjalankan tugas peringkat antarabangsa bersama Switzerland.

Pasukan kebangsaan Switzerland mengesahkan semalam bahawa pemain itu -- yang dilayangkan kad merah ketika Arsenal dibelasah Manchester City 0-5 hujung minggu lalu -- sedang menjalani pengasingan selepas ujian calitan PCR yang dijalaninya menunjukkan keputusan positif.

Xhaka, yang merupakan ketua pasukan Switzerland, sudah mula bergejala sejak semalam -- menjelang perlawanan persahabatan menentang Greece.

Ujian calitan awal menunjukkan keputusan negatif tetapi ujian PCR lanjut yang dilakukan mendapati pemain itu positif virus berkenaan. Xhaka akan menjalani satu lagi ujian calitan esok.

Pasukan itu turut mengesahkan bahawa pemain berkenaan tiada sebarang kontak dengan rakan sepasukannya dan doktor pasukan itu juga berkata tiada sebarang tindakan lanjut perlu diambil memandangkan kesemua ahli pasukan mereka sudah divaksin atau sudah pernah pulih daripada COVID-19 sebelum ini.

Bagaimanapun, seorang pegawai pasukan itu masih perlu menjalani pengasingan.

Xhaka mempamerkan aksi terbaiknya bersama Switzerland dalam Euro 2020 tetapi gagal meneruskan persembahan itu bersama Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, di mana mereka tewas ketiga-tiga perlawanan pertama.

Pasukan bimbingan Mikel Arteta itu kini berada di tangga tercorot liga menjelang pertemuan dengan Norwich City selepas waktu rehat antarabangsa.