Dominasi Riddle dan bintang veteran Randy Orton dalam divisyen beregu di jenama Raw menemui titik noktah apabila mereka tewas kepada pasukan Alpha Academy gandingan Chad Gable dan Otis di acara Raw semalam.

Setelah menewaskan pasukan RK-Bro di siaran Raw minggu lalu hasil strategi mengasingkan Orton daripada masuk ke gelanggang, Gable dan Otis mendapat hak untuk mencabar Kejuaraan Beregu Raw minggu ini. Walaupun kali ini Riddle dan Orton lebih berhati-hati, namun Gable yang merupakan bekas atlet pasukan Olimpik Amerika Syarikat tahun 2012 berjaya mengatur pelan yang sempurna bersama Otis bagi mengekang setiap gerakan RK-Bro.

Dengan satu bantingan kuat ala World’s Strongest Slam yang dipopularkan bintang legenda Mark Henry ke atas Orton, Otis berjaya menyudahkan perlawanan dengan tiga kiraan pin, sekaligus bergelar Juara Beregu Raw yang baharu. Selajur menamatkan penguasaan RK-Bro yang telah memegang kejuaraan tersebut sejak acara WWE Summerslam pada Ogos tahun lalu.

Dalam satu lagi perkembangan lain, Doudrop berjaya menempah tempat selaku pencabar utama Kejuaraan Wanita Raw. Bekas bintang NXT UK ini berjaya mengenepikan cabaran daripada Bianca Belair dan Liv Morgan dalam perlawanan tiga penjuru di acara kemuncak Raw semalam, sekali gus bakal berentap dengan penyandang juara Becky Lynch di acara WWE Royal Rumble penghujung bulan ini.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Royal Rumble pada 30 Januari depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.