Pemain baru Los Angeles Lakers, Russel Westbrook, berkata dia sudah muak dengan pertikaian berterusan mengenai prestasinya bersama pasukan itu musim ini.

Westbrook menyertai Lakers daripada Washington Wizards dalam satu perpindahan utama menjelang permulaan musim ini, di mana dia berpeluang bergandingan dengan MVP empat kali, LeBron James dan seorang lagi All-Star, Anthony Davis, dalam membantu juara NBA 2020 itu memacu satu lagi kejayaan dalam kempen kali ini.

Bagaimanapun, Lakers kini bergelut dengan rekod 16-18, termasuk lima kekalahan berturut-turut, di mana West Brook kerap menjadi mangsa untuk dipersalahkan.

"Semua orang mahu saya melakukan itu dan kemudian mereka mahu saya melakukan ini," katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

"Sejujurnya, saya sudah muak dengan situasi di mana semua orang mahu saya lakukan perkara yang mereka fikir saya patut lakukan."

Westbrook merekodkan purata 19.6 mata bagi setiap satu perlawanan musim ini -- rekod terendahnya sejak musim keduanya dalam NBA pada 2009.

Point guard berusia 33 tahun itu turut merekodkan purata 7.9 rebound dan 8.1 bantuan bagi setiap satu perlawanan musim ini.

Mengulas lanjut, dia menambah: "Sejujurnya, saya fikir saya baik-baik sahaja. Pertikaiannya lebih berat kepada bagaimana saya bermain dan apa yang saya sedang lakukan tetapi saya fikir mereka sangkakan saya akan merekodkan 25, 15, 15, di mana ia tidak normal.

"Semua orang perlu faham bahawa ia bukan sesuatu yang normal untuk mana-mana pemain dapat melakukannya secara konsisten."