Awal pagi tadi, ketika baru sahaja bangun tidur, seperti biasa telefon bimbit terus disambut tangan biarpun separa sedar lagi ketika itu. Ternampak ada notifikasi baru dalam group Whatsapp Olimpik Rio 2016.

Secara automatik, jari jemari terus membuka mesej yang masuk ke dalam group, namun hati berasa sedikit gementar.

'Did something happen? Is anything wrong?'

Mesej diterima daripada salah seorang penerbit Liputan Harian Olimpik Rio 2016 yang bersiaran langsung di Astro Arena 801 dan 802HD sepanjang berlangsungnya Sukan Olimpik.

Mesej itu tidaklah berapa panjang, namun cukup bermakna buat semua yang terlibat dengan menjayakan Liputan Harian Olimpik Rio 2016.

Sia-sia sahaja berasa gementar!

Namun selepas membaca mesej itu dan melihat response daripada rakan-rakan yang lain, saya merasa begitu bangga melihat segala penat lelah rakan-rakan di Astro Arena, tidak kisahlah yang bertugas di Rio mahupun Kuala Lumpur, berjaya merealisasikan idea dan 'planning' sukan Olimpik yang telah dilaksanakan sejak tahun lepas lagi.

Bukanlah tugasan mudah buat mereka yang terpaksa berjauhan dengan keluarga apabila berkelana hampir sebulan di Brazil, tidak mudah juga tugasan yang dipikul oleh rakan-rakan yang berada di Kuala Lumpur untuk memastikan Sukan Olimpik bersiaran dengan lancar buat tatapan peminat sukan negara.

Tidak lupa juga buat rakan-rakan yang sentiasa memastikan sorotan aksi Olimpik sentiasa berada di laman Youtube Astro Arena untuk menghidupkan kembali suasana Olimpik buat sesiapa yang tidak berkesempatan untuk menyaksikan acara secara langsung di kaca televisyen. Syabas juga kerana memastikan acara-acara yang melibatkan atlet Malaysia boleh disaksikan menerusi Live Streaming di Youtube Astro Arena!

Memang bukan mudah untuk kita menjadikan semua idea ini satu realiti... 'But we did it guys!' Satu penghormatan untuk saya bekerjasama dengan anda semua. 'What a year for the Malaysian contingent'. Bukan setakat atlet kita sahaja yang menampilkan aksi yang cukup memberangsangkan kali ini, saya berani berkata Astro Arena juga telah menunjukkan komitmen dan dedikasi yang begitu tinggi bagi memberikan liputan Olimpik yang terbaik.

Selamat tinggal Sukan Olimpik terima kasih untuk segala memori yang telah tercipta tahun ini. Insya-Allah jika dipanjangkan usia kita berjumpa lagi di Tokyo!