Virgil van Dijk akan terlepas aksi selama lebih sebulan selepas mengalami kecederaan hamstring dalam kekalahan Liverpool kepada Brentford awal minggu ini, demikian disahkan Jurgen Klopp.

Pertahanan itu merupakan salah seorang daripada tiga pemain yang digantikan sebaik babak kedua bersambung dalam kekalahan 1-3 di Stadium Komuniti Brentford itu yang menyaksikan mereka terlepas merampas kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Klopp selepas perlawanan itu pada awalnya menjelaskan pertukaran berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga tetapi laporan terbaru mencadangkan kecederaan kapten Belanda tersebut adalah lebih buruk.

Bercakap menjelang perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Wolves, awal pagi esok, Klopp menjangkakan Van Dijk akan berehat lama sambil menyifatkan ketiadaannya sebagai satu tamparan hebat

“Ia satu kejutan besar dan jelas sekali satu tamparan hebat memandangkan dia tidak berasa apa-apa,” kata pengurus itu dalam sidang media pra-perlawanan malam tadi.



“Saya menggantikannya dia untuk mengelakkan risiko, mungkin dia memaksa diri sendiri untuk beraksi dan perkara seperti ini terjadi.

"Akhirnya, keputusan ujian imbasannya agak mengejutkan. Mereka bercakap tentang berminggu-minggu tersisih, mungkin lebih dari sebulan.

"Kami perlu melihat sejauh mana keadaannya tetapi kami mempunyai pertahanan tengah yang lain. Semuanya sedia diturunkan tetapi bagi Virg, ia sukar buatnya.

"Dia telah terbabit dalam jumlah perlawanan yang luar biasa beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami tidak boleh mengerahkannya di atas padang, cuma dapat di luar padang sahaja jadi kami akan melakukannya."