Aston Villa telah mengesahkan telah menyempurnakan perpindahan Leon Bailey dari Bayer Leverkusen dengan bayaran GBP30 juta.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengumumkan pada penghujung Julai bahawa persetujuan telah dilakukan bersama Leverkusen, dengan pemain itu telah melengkapkan ujian perubatan dan bersetuju bagi menandatangani kontrak sehingga 2025.

Pemain kebangsaan Jamaica, Bailey telah menjaringkan 15 gol dan melakukan 10 assist buat kelab Bundesliga itu sepanjang 40 penampilan dalam semua pertandingan musim lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu menjadi pemain kedua termahal Villa menjelang musim 2021-22, berikutan kehadiran Emiliano Buendia dari Norwich City. Ashley Young turut kembali menyertai kelab secara percuma.

"Leon seorang pemain muda yang pantas serta kreatif," kata pengurus Villa, Dean Smith.

"Dia menikmati karier yang menarik di Leverkusen dan kami tidak sabar menyaksikan dia membuktikan kemampuan dan bakat untuk Aston Villa dalam EPL."

Smith ketika ini masih lagi menantikan perkhabaran masa depan Jack Grealish yang masih belum menentukan masa depannya, apabila kapten pasukan itu kuat dikaitkan dengan Manchester City.

Villa bakal bertemu Sevilla dalam aksi persahabatan sebelum bertemu Watford dalam aksi pembukaan 14 Ogos ini.