Adrien Rabiot bakal terlepas jelajah Juventus ke Amerika Syarikat (AS) atas sebab peribadi.

Pemain antarabangsa Perancis itu mengesahkan di Instagram bahawa dia tidak akan mengikuti siri perlawanan persahabatan di AS bersama rakan sepasukannya esok.

"Sebagai persetujuan dengan kelab dan atas sebab peribadi, saya akan kekal di Itali untuk menamatkan latihan fizikal saya." tulis bekas pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG) itu.

Kontrak Rabiot bersama Bianconeri hanya berbaki setahun dan pemain berusia 27 tahun itu telah dikaitkan dengan dua seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dan Manchester United.



Rabiot membuat 45 penampilan musim lalu dan 32 kali tampil dalam Serie A untuk muncul pemain tengah Juve yang khidmatnya paling ditagih.

43 terjahan yang dimenanginya dalam Serie A adalah yang tertinggi oleh mana-mana pemain kelab itu sepanjang kempen 2021-22, manakala dia mempunyai kadar hantaran yang mengagumkan setinggi 83.3 peratus.

Gergasi Turin itu akan berdepan Club Deportivo Guadalajara di Stadium Allegiant di Las Vegas pada Sabtu ini sebelum menentang Barcelona di Dallas, Rabu depan, disusuli bertemu Real Madrid di Los Angeles, empat hari kemudian.