Marcus Rashford berkata dia belum bersedia untuk kembali mewakili England selepas namanya tiada dalam senarai skuad The Three Lions itu.

Pengurus pasukan, Gareth Southgate, menyenaraikan 28 pemain England bagi saingan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) bulan ini, yang merupakan waktu rehat antarabangsa terakhir sebelum Piala Dunia Qatar pada November depan.

Rashford tidak pernah mewakili England sejak final Euro 2020 tahun lalu, di mana dia menjadi salah seorang daripada tiga pemain yang gagal menjaringkan gol dalam penentuan penalti ketika mereka tewas kepada Itali.

Faktor kecederaan dan prestasi dilihat menjadi penghalang untuk pemain berusia 24 tahun berkenaan kembali menyarung jersi negaranya.

Bagaimanapun, selepas mempamerkan permulaan terbaiknya musim ini, di mana dia meghasilkan tiga gol dan dua bantuan jaringan dalam enam perlawanan pertama Manchester United, ramai menjangkakan dia akan kembali terpilih.

Bagaimanapun, disamping seorang lagi bintang United, Jadon Sanhco, Rashford tidak terpilih dalam senarai Southgate kali ini, di mana hanya dua pertahanan The Red Devils, iaitu Harry Maguire dan Luke Shaw, menjadi pilihan walaupun tidak banyak beraksi sepanjang musim ini.

Akan tetapi, Rashford berkata ketiadaannya dalam skuad kali ini bukanlah disebabkan masalah prestasi tetapi lebih kepada faktor kecergasan sambil mendedahkan mengenai kecederaan kecil yang dialaminya awal minggu ini sehingga tidak dapat diturunkan ketika United menewaskan Sheriff dalam saingan Liga Europa (UEL) awal pagi tadi.

"Semoga berjaya buat buat pemain Manchester United hari ini," ciap pemain dengan 46 penampilan antarabangsa itu dalam Twitter.

"Mengenai pasukan England, setiap pemain pasti mahu mewakili negara mereka dan saya tidak terkecuali.

"Malangnya, saya masih belum bersedia kerana saya mengalami kecederaan pada waktu yang salah," katanya.


x