Gareth Southgate melontarkan cabaran kepada bintang lincah Manchester City, Jack Grealish, agar meningkatkan taktikal andai mahu menjadi pemain utama England secara kerap.

Grealish dimasukkan dari bangku simpanan ketika berbaki 18 minit perlawanan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menentang Jerman di Munich, semalam.

Pemain berusia 26 tahun itu membuat perbezaan di bahagian sayap kiri untuk memastikan keputusan seri 1-1 menerusi sepakan penalti lewat Harry Kane selepas Jonas Hofmann membuka jaringan.

Walaupun minit permainannya terhad, Grealish berjaya melakukan enam sentuhan di kotak penalti lawan termasuk satu peluang terbuka -- dua kali ganda daripada mana-mana pemain England selain Kane (tujuh).





"Pada permulaan permainan, cabaran untuk pemain adalah untuk menyerang, bertahan dan cuba menjaringkan gol -- ia menuntut tahap taktikal yang tinggi dan anda perlu berada di kedudukan yang tepat," katanya.

"Jack perlu lebih bagus dalam aspek itu. Dia lebih cenderung membawa bola ketika permainan dibuka dengan adanya lebih banyak ruang dan peluang.

"Impak yang dia dan Jarrod Bowen sangat penting di kawasan serangan itu. Terdapat cabaran sengit untuk posisi berkenaan tetapi kami perlu terus mendorong mereka."