“Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan, perlawanan hari ini berbeza sama sekali dengan Ahad lalu
(menentang Manchester City),” ujar pengurus Manchester United, Erik Ten Hag, selepas anak buahnya menang tipis 3-2 ke atas pasukan dari Cyprus, Omonia Nicosia, di peringkat kumpulan Liga Europa semalam.

Statistik perlawanan jelas menunjukkan dominasi menyeluruh United, dengan penguasaan bola
setinggi 74 peratus serta jumlah hantaran sebanyak 714, berbanding Omonia yang hanya
mampu melakukan 262 hantaran.

Namun, di sebalik dominasi itu dan gesaan Ten Hag agar penyokong tidak gusar akan
persembahan mereka, nisbah di antara jumlah percubaan menyeluruh dan jumlah percubaan
tepat perlu diperhatikan di sini.

Daripada 28 percubaan, hanya lapan yang tepat ke sasaran atau 29 peratus sahaja.

Bintang kontroversi, Cristiano Ronaldo, akhirnya diberikan peluang untuk menjadi pemain kesebelasan utama, dengan harapan dapat menyumbat gol ke-700 sepanjang kerjayanya.

Namun, hajat itu terpaksa ditangguhkan gara-gara sentuhan penyudah yang mengecewakan sepanjang 90 minit, termasuk satu percubaan yang terkena tiang biarpun pintu gawang lawan sudah terbuka luas akibat kesilapan penjaga gol Omonia.

Ten Hag memuji mentaliti pemain-pemainnya yang kekal tenang dan tidak henti berusaha mengejar
setelah bolos gol pertama pada minit ke-32 perlawanan.

Tetapi hakikat yang mereka membenarkan pasukan lawan yang kerdil reputasi untuk terlebih dahulu melakukan jaringan menunjukkan kelonggaran dan kecuaian barisan pertahanan, itu hakikatnya.

Pujian tetap harus diberikan kepada Ten Hag kerana mengenal pasti persembahan hambar daripada Tyrell Malacia dan Jadon Sancho, lalu membawa masuk Luke Shaw dan Marcus Rashford -- pertukaran yang turut mengubah nasib United secara keseluruhan setelah Rashford menjaringkan dua gol pada akhirnya.

Bekas pemain United, Paul Scholes, memberikan kritikan kepada barisan pertahanan yang
sememangnya longgar, Sancho yang tidak proaktif dalam berusaha menembusi pertahanan lawan serta pemain baru, Antony, yang dilabelkannya sebagai hanya tahu melakukan satu jenis gerakan
(melakukan percubaan dari sayap kanan).

Sememangnya United masih lagi dalam proses untuk memulihkan diri dan bangkit, itu sudah berkali-kali dibicarakan dan disorotkan, namun perkara-perkara sebegini haruslah mula diberikan perhatian serius dan diubah sebaik-baiknya.

Berkisar kepada Ronaldo, laporan berita dari pelbagai sumber media minggu ini mengatakan bahawa
Ten Hag bersedia untuk melepaskannya dalam jendela perpindahan seterusnya dan tidak akan lagi
menghalang mahupun memujuk pemain itu untuk terus kekal.

Masalahnya di sini, Ronaldo masih lagi kekal bukannya kerana dia mahu tetapi tidak ada pasukan yang berminat untuk melaburkan wang besar demi membayar gajinya sedangkan prestasinya cukup tidak konsisten.

Pasukan kebangsaan Portugal sendiri disebut-sebut sedang menimbangkan untuk menggugurkannya daripada tugas penyerang utama agar tidak menghancurkan harapan negara itu dalam Piala Dunia di Qatar bulan depan.



Melihat dari sudut positif, Rashford serta Martial nampaknya telah pulih daripada kemelut peribadi
yang ditanggung sewaktu musim-musim lalu dan menjadi harapan United untuk membolos jaring lawan saban minggu.

Begitu juga dengan Scott McTominay yang setakat ini masih lagi berjaya mengekalkan
posisinya daripada dirampas oleh pemain baru, Casemiro.

Sama ada penyokong perlu mula risau ataupun tidak, ia tergantung kepada bagaimana pemain-pemain ini terus membawa diri dalam perlawanan-perlawanan yang mendatang, serta untuk terus bangkit setelah menerima tamparan hebat seperti sewaktu dibelasah minggu lalu.