Sungguhpun UiTM FC turun dengan status 'underdog' dalam Piala Malaysia, skuad The Lion Troops tetap enggan beri laluan mudah kepada Sabah dalam pusingan pertama.

Ketua jurulatih kelab universiti tempatan itu, Ismail Ibrahim, sedang mencongak strategi terbaik dalam misi memerangkap skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, apatah lagi format baru Piala Malaysia musim ini disifatkan lebih terbuka kepada mana-mana pasukan.

"Kami perlu bersedia daripada mental dan fizikal kerana inilah peluang mereka. untuk bermain dalam Piala Malaysia, suasananya lain.




"Jadi pemain kena faham taktikal yang diterapkan supaya dapat persembahkan di dalam padang.

"Sabah sebuah pasukan yang mantap jadi kami perlu ada strategi.

"Kami perlu tunjukkan disiplin dan tidak boleh buat kesilapan hingga membenarkan lawan menjaringkan gol," kata Ismail.

UiTM akan melayani kunjungan Sabah di Shah Alam terlebih dahulu pada Selasa depan sebelum bertandang ke Stadium Likas, 31 Oktober.

Dalam masa sama, ketua pasukan UiTM, Arhan Kussyairi Abd Wahab, bertekad menyahut cabaran Sabah.

"Sekurang-kurangnya kami perlu beri saingan kepada Sabah dan buktikan prestasi kami boleh menyaingi mereka.

"Kami tidak akan berikan laluan mudah, kami akan buktikan (keupayaan)," katanya pula.