Ketua jurulatih Barcelona, Xavi, berkata pasukannya akan berdepan lawan paling mencabar setelah diundi bertemu Manchester United dalam saingan playoff pusingan kalah mati Liga Europa (UEL).

Barca akan bersaing dalam Liga Europa tahun depan selepas gagal ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL) gara-gara menamatkan saingan peringkat kumpulan di belakang Bayern Munich dan Inter Milan.

Blaugrana kini gagal melepasi peringkat kumpulan UCL buat tahun kedua berturut-turut dan ia hanya pernah berlaku sebanyak dua kali sepanjang sejarah mereka selepas kali terakhir berdepan perkara sama di bawah bimbingan Louis van Gaal dalam kempen 1997-98 dan 1998-99.

Barca tewas kepada pasukan juara, Eintracht Frankfurt, dalam suku akhir UEL musim lalu dan Xavi berasakan mereka sekali lagi tidak bernasib baik dalam majlis undian malam tadi.

"Kami perlu bersaing, kami perlu ke Manchester dan berdepan seteru yang amat sukar," kata Xavi dalam sidang media menjelang perlawanan LaLiga menentang Osasuna awal pagi esok.

"Ia seteru bersejarah yang telah berkembang dengan pesat di bawah bimbingan Erik ten Hag, dengan pemain individu yang hebat.

"Kami sekali lagi telah diberikan seteru yang paling sukar dalam UEL.

"Ia satu cabaran yang besar buat kami, pemain kami mungkin perlu lebih bermotivasi apabila berdepan lawan sekuat itu," katanya.