Ketiadaan nama pertahanan negara, Dion Cools, dalam skuad FC Midtjylland bagi saingan Liga Europa (UEL) menguatkan spekulasi bahawa pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium itu akan menyertai pasukan gergasi Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), musim depan.

Cools menyertai kelab Denmark, Midtjylland, daripada Club Brugge dengan kontrak tiga tahun pada Januari 2020.

Kontraknya akan tamat pada penghujung tahun ini, sekali gus memberikan gambaran bahawa dia akan menjadi pemain ejen bebas selepas tempoh berkenaan.

Pada Jun lalu, Cools pernah menyatakan minatnya untuk menyertai JDT kepada pemilik kelab itu, Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

JDT dilaporkan sedang menunggu pemain itu menamatkan kontraknya bersama kelab Eropah berkenaan bagi mengelakkan perbelanjaan besar.

Sejak melakukan penampilan pertama bersama skuad negara pada Jun tahun lalu, Cool telah melakukan 11 penampilan dan menjaringkan satu gol peringkat antarabangsa.