JUVENTUS 1 SEVILLA 1

Federico Gatti menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-97 untuk memastikan Juventus mengikat Sevilla 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Europa (UEL) di Stadium Allianz awal pagi tadi.

Gatti menanduk masuk bola dari jarak dua elas selepas menerima umpanan tandukan lintang Paul Pogba biarpun tandukan awal Danilo kelihatan akan tersasar.

Jaringan itu memadamkan gol pembukaan Youssef En-Nesyri buat Sevilla pada minit ke-26, di mana penyerang itu menyudahkan lintangan Lucas Ocampos.

Sevilla mendominasi hampir keseluruhan perlawanan itu tetapi kerap dikecewakan dengan percubaan En-Nesyri dan Ocampos, yang gagal menemui sasaran.

Juventus, dalam pada itu, kelihatan beraksi hambar dalam sebahagian besar perlawanan berkenaan dan gol tandukan Gatti itu merupakan percubaan kedua mereka sepanjang aksi itu.

Sebagai rekod, Sevilla, yang menyingkirkan Manchester United dalam suku akhir, merupakan pasukan terbanyak memenangi UEL dengan enam gelaran dan kali terakhir memenanginya pada 2020.

Mereka akan menantikan tandangan Juventus di Estadio Ramon Sanchez Pizjuan bagi perlawanan separuh akhir kedua minggu depan.