NAPOLI 2 BARCELONA 4
(Barcelona ke pusingan 16 dengan agregat 5-3)

Barcelona mara ke pusingan 16 Liga Europa dengan agregat 5-3 selepas menewaskan Napoli 4-2 di Stadio Diego Armando Maradona awal pagi tadi.

Selepas terikat 1-1 dalam perlawanan pertama di Camp Nou minggu lalu, Jordi Arba, Frenkie de Jong dan Gerard Pique muncul penjaring dalam separuh masa pertama perlawanan kali ini untuk pasukan bimbingan Xavi itu selesa mendahului.

Pierre-Emerick Aubameyang kemudian menambah satu lagi gol buat Barca sebelum sejam permainan, sekali gus menjadikan jaringan penalti Lorenzo Insigne dalam babak pertama dan gol lewat aksi Matteo Politano tidak lagi bermakna buat tuan rumah.

Skuad kendalian Luciano Spalleti itu, yang tewas buat kali pertama sepanjang tujuh perlawanan terakhir, menjadi pasukan Itali ketujuh disingkirkan Barcelona di laman sendiri dalam kejohanan utama peringkat Eropah.