GALATASARAY 1 BARCELONA 2
(Barcelona ke suku akhir dengan agregat 2-1)

Barcelona bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Galatasaray 2-1 secara agregat, sekali gus mara ke suku akhir Liga Europa (UEL) awal pagi tadi.

Pasukan pelawat itu mempersia-siakan pelbagai peluang di depan gol untuk terikat tanpa jaringan dalam perlawanan pertama pusingan 16 di Camp Nou minggu lalu dan aksi di Istanbul kali ini pula menyaksikan mereka ketinggalan seawal minit ke-28 gara-gara jaringan Marcao buat Galatasaray.

Bagaimanapun, Pedri menjaringkan gol penyamaan di tempat lawan buat Barca sebelum ke bilik persalinan dan Pierre-Emerick Aubameyang meneruskan rentak cemerlangnya untuk meletakkan pasukannya di depan buat kali pertama pada minit ke-49.

Kemenangan skuad bimbingan Xavi itu di Stadium NEF menyaksikan mereka kini tidak pernah tewas sepanjang 11 perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan dan akan menantikan lawan di peringkat suku akhir dalam majlis undian esok.

Seterusnya, Barcelona akan menghadapi musuh tradisi, Real Madrid, dalam saingan LaLiga hujung minggu ini manakala Galatasaray pula -- yang kini di tangga ke-11 Liga Super Turki -- akan bertandang ke laman Gaziantep.