Diego Simeone berpuas hati dengan usaha yang dipamerkan pemain Atletico Madrid biarpun mereka disingkirkan Manchester City di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Pasukan LaLiga itu mempamerkan aksi penuh bersemangat dalam babak kedua di Wanda Metropolitano tetapi terikat tanpa jaringan dengan City, sekali gus tersingkir dengan agregat 0-1.

Perlawanan menarik itu berlangsung tegang pada penghujung permainan melibatkan pemain kedua-dua pasukan susulan kekasaran yang dilakukan Felipe ke atas Phil Foden -- terjahan yang turut menyaksikan layangan kad kuning kedua buat Felipe.

Simeone turut dilayangkan kad kuning dalam waktu kecederaan selepas bertindak masuk ke padang bagi menenangkan Stefan Savic, yang terlibat dalam insiden tegang dengan pemain City sepanjang baki perlawanan.

Insiden buruk itu berlarutan sehingga ke terowong pemain, di mana tular beberapa video di laman sosial yang menunjukkan betapa pemain kedua-dua pasukan itu perlu dileraikan oleh pihak polis.

Simeone, bagaimanapun, enggan terlibat dengan sebarang kontroversi dan bertindak memuji usaha yang dilakukan pemainnya berdasarkan sokongan padu penyokong tuan rumah sepanjang perlawanan itu.

"Reaksi pada penghujung perlawanan menunjukkan kebanggaan untuk melihat sebuah pasukan yang berdaya saing," katanya kepada Movistar.

"Ia memberikan kami ketenangan minda bahawa kami telah memberikan segala-galanya sepanjang perlawanan ini.

"Sokongan yang amat luar biasa sepanjang perlawanan. Pasukan ini memberikan respons seperti yang setiap orang mahukan dan hubungan itu amat sukar untuk dilihat di stadium, di mana mereka menghormati anda selepas anda tersingkir.

"Apa yang jelas, kami berbangga dengan diri kami, dengan cara kami bersaing. Kami tersingkir dan ia menyakitkan tetapi saya gemar melihat mereka tetap meraikannya, sama ada berjalan dengan baik atau tidak begitu baik," katanya.