Thiery Henry berasakan Juventus memiliki masalah "dari atas hingga ke bawah" dan memecat ketua jurulatih, Massimiliano Allegri, tidak akan dapat mengubah nasib mereka.

Kekalahan 3-4 kepaqda Benfica awal pagi tadi menyaksikan Juve tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan sekiranya Maccabi Haifa memperoleh keputusan yang lebih baik berbanding mereka dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Juve tidak akan layak untuk bersaing dalam Liga Europa (UEL).

Kekalahan di Lisbon itu merupakan yang ketiga daripada lima perlawanan terakhir Bianconeri dalam kesemua kejohanan dan pasukan bimbingan Allegri itu kini sedang menduduki tangga kelapan Serie A dengan ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Napoli.

Penyingkiran itu juga merupakan yang pertama buat Juve dalam sejarah UCL sejak musim 2013-14, sekali gus akan meningkatkan tekanan buat Allegri tetapi bekas penyerang pasukan itu, Henry, percaya menukar ketua jurulatih tidak akan mengubah keadaan mereka.

"Saya tidak akan melakukannya. Seperti yang anda tahu, saya berada di sempadan yang berbeza ketika ini, jadi amat sukar untuk bercakap mengenai pengurus.

"Saya fikir terdapat banyak masalah dari atas sehingga ke bawah; ia bukan hanya permasalahan di bawah dan di atas padang sahaja yang tidak berjalan dengan baik.

"Saya pernah katakannya ketika (Andrea) Pirlo pergi, saya katakannya ketika (Maurizio) Sarri pergi, mereka bukanlah jurulatih yang teruk.

"Apa yang berlaku di belakang tabir, kita tidak tahu. Ia adakalanya memerlukan masa. Bukannya dengan membawa masuk Allegri segalanya akan berhasil.

"Ke mana anda mahu pergi? Apakah perancangan anda? Siapa anda mahu bawa masuk? Anda perlu membiarkan mereka bekerja untuk seketika bagi melakukan perubahan, untuk mengubah siapa yang akan pergi, siapa yang akan datang dan bermain dengan sistem ini.

"Kita dapat lihat (Mikel) Arteta (di Arsenal); Dia memerlukan dua tahun untuk membina pasukan yang selayaknya di atas padang dan dia juga dikritik.

"Adakah anda mahu kekal dengannya atau tidak? Fikirkan dengan sebaik-baiknya.

"Mereka fikir dengan membawa masuknya (Allegri), segalanya akan berubah dan ia masih belum berlaku," katanya.