Real Madrid perlu menunjukkan bahawa mereka pasukan terbaik dunia ketika berdepan Manchester City dalam penentuan ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok, kata Luka Modric.

Pertemuan kedua-dua pasukan itu di Manchester minggu lalu merupakan aksi separuh akhir pertama kedua menyaksikan tujuh gol terhasil sepanjang sejarah UCL -- selepas Liverpool menewaskan AS Roma 5-2 musim 2017-18.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), City, membawa kelebihan tipis 3-4 daripada perlawanan itu ke Santiago Bernabeu dan telah memenangi sembilan daripada 10 penentuan kalah mati UCL selepas memenangi pertemuan timbal balik pertama.

Madrid, dalam pada itu tewas kesemua lima aksi separuh akhir UCL selepas kalah dalam pertemuan pertama tetapi Los Blancos melayakkan diri dalam dua daripada tiga pusingan kalah mati terakhir selepas tewas pertemuan pertama, termasuk kebangkitan luar biasa ke atas Paris Saint-Germain (PSG) pada Mac lalu.

Modric memainkan peranan penting ketika Madrid bangkit menewaskan Chelsea dalam suku akhir dan pemain veteran berusia 36 tahun itu meningkatkan suasana dalam sidang media sebelum perlawanan.



"Suasana dalam bilik persalinan amat bagus. Kami benar-benar mahu menghadapinya. Kami tahu apa yang kami perlu lakukan, ia perlawanan terpenting musim ini," kata Modric, yang meraikan gelaran LaLiga ketiga sepanjang kariernya hujung minggu lalu selepas Madrid menewaskan Espanyol bagi meraikan gelaran domestik ke-35 mereka.

"Kami amat yakin kami akan bangkit. Kami sedar kami tidak memberikan aksi terbaik dalam perlawanan pertama tetapi kami masih dapat menjaringkan tiga gol.

"Kami perlu beraksi dengan lebih baik dan saya pasti kami akan melakukannya," katanya.

Dia menambah: "Apa yang kami ada? Kualiti, banyak perwatakannya. Sejarah kelab ini turut memainkan peranan. Kelab ini memenangi paling banyak gelaran UCL (13).

"Semua perkara ini banyak mempengaruhi kami. Kami tidak pernah mengalah. Kelab ini mengajar kami mengenainya sejak kami berada di sini.

"Kami perlu menunjukkan bahawa kami adalah Real Madrid, pasukan terbaik di dunia," katanya lagi.