Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata pasukannya mesti mendapatkan semula identiti diri mereka selepas tewas 4-1 menentang Napoli dalam perlawanan pembukaan kempen Liga Juara-Juara mereka.

Naib juara musim lalu ketinggalan 3-0 pada separuh masa, dan bolos sekali lagi hanya dua minit sejurus separuh masa kedua bermula.

Bercakap kepada BT Sport selepas perlawanan itu, Klopp berkata, “Sungguh sukar, sukar untuk diterima. Tidak begitu sukar untuk dijelaskan apabila anda melihat permainan itu.”

“Pertama sekali, Napoli bermain permainan yang sangat bagus dan kami tidak melakukannya. Itulah penjelasan pertama untuk kekalahan itu. Kami akur dengan dua penalti yang diberikan. Dua gol seterusnya, kami seakan-akan menghidangkan jaringan tersebut kepada pasukan lawan -- itu tidak bagus”, katanya.

Walaupun dia berkata dia perlu menganalisis permainan dengan teliti, Klopp memilih beberapa bahagian yang jelas di mana perkara yang tidak kena, berkata, “Kami tidak bertahan dengan baik mahupun menyerang. Sehingga Thiago dibawa masuka, saya tidak ingat satu situasi yang memihak kami. Satu lagi sebab kami bermain terlalu luas. Semuanya jelas, mengapa ia berlaku. Saya tidak dapat menjawabnya sekarang.”

Selain permulaan buruk mereka ke Liga Juara-Juara, Liverpool juga bergelut untuk mara dalam Liga Perdana Inggeris (English Premier League), hanya memenangi dua daripada enam perlawanan pembukaan mereka.

Bercakap mengenai prestasi buruk mereka, Klopp berkata, “Kami perlu mencipta semula diri kami. Terdapat banyak perkara yang kurang, bukan dalam semua permainan tetapi sekarang. Bahagian yang menyeronokkan ialah kami perlu melakukannya pada pertengahan musim Liga Perdana dan kempen Liga Juara-Juara. Dalam tiga hari kami menentang Wolves. Mereka melihat perlawanan malam ini, mereka tidak boleh berhenti ketawa.”

“Kami perlu mencari persediaan untuk menjadi lebih baik dalam hampir semua perkara. Kami tidak bekerja sebagai satu pasukan”, katanya.