LIVERPOOL 2 AJAX 1

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, percaya kemenangan tipis 2-1 ke atas Ajax dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi merupakan satu permulaan untuk mereka kembali mendapatkan prestasi terbaik.

Dalam perlawanan di Anfield itu, jaringan pertama Mohamed Salah selepas lapan perlawanan peringkat Eropah dipadamkan oleh Mohammed Kudus dalam separuh masa pertama sehinggalah Joel Matip menanduk masuk gol kemenangan Liverpool untuk The Reds memperoleh tiga mata pertama dalam aksi Kumpulan A itu selepas tewas 1-4 kepada Napoli sebelum ini.

"Saya fikir jika kita bandingkan dua perlawanan, menentang Napoli dan malam ini, anda tidak dapat kenal-pasti ia pasukan yang sama," katanya dalam sidang media.

"Ia amat berbeza. kami bermula dengan berbeza, pertengahannya berbeza dan penamatnya juga berbeza.

"Dengan cara kami bermain, dengan cara kami bertahan, segalanya berbeza.

"Keamatannya lebih tinggi, jauh lebih agresif, berani dan lebih bersedia, segala-galanya lebih baik.

"Kisah perlawanan ini amat tipikal tetapi bukan untuk musim ini kerana kebiasaannya kami akan ketinggalan 0-1 dalam kebanyakan situasi.

"Kami melakukan banyak perkara bagus dan bermain dengan amat baik, kami mendaftarkan lebih-kurang 25 percubaan, di mana ia amat baik ketika berdepan satu pasukan yang amat kuat dan penuh keyakinan dan kami memberikan mereka banyak masalah.

"Saya fikir tiada siapa akan terkejut dengan 'set-piece' (gol kemenangan) itu kerana kami benar-benar bagus dalam melakukannya dan saya tidak faham mengapa kami tidak menjaringkannya lebih awal kerana setiap 'set-piece' kami memberikan ancaman buat mereka.

"Reaksi yang ditunjukkan di wajah Joel itu benar-benar serupa dengan apa yang saya rasakan sekarang. Ini baru langkah pertama, tidak lebih daripada itu," katanya.