Ketua jurulatih Barcelona, Xavi, gembira dengan prestasi terkini pasukannya menjelang pertemuan dengan Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di San Siro awal pagi esok.

Kedua-dua pasukan itu kini terikat tiga mata selepas tewas kepada pendahulu Kumpulan C, Bayern Munich.

Justeru, perlawanan kali ini akan memberikan gambaran pasukan mana yang akan melepasi peringkat kumpulan berkenaan.

Inter akan turun beraksi selepas tewas empat daripada lapan perlawanan Serie A setakat ini tetapi Xavi menjangkakan saingan sengit tetap akan disajikan pasukan tuan rumah berkenaan.

"Prestasi mereka tidak penting, mereka adalah Inter.

"Mereka dalah pasukan yang amat kuat. Mereka memiliki sistem berbeza berbanding apa yang kita pernah lihat sebelum ini.

"Mereka bermain dengan dua penyerang, sesuatu yang anda jarang dapat lihat di Sepanyol.

"Mereka pasukan yang kuat dan walaupun kami sedang berada dalam prestasi terbaik, kami perlu membuktikannya.

"Kami perlu mengulangi prestasi yang kami tunjukkan di Munich tetapi kali ini dengan kemenangan.

"Ia kelihatan perlawanan ini akan menjadi penentu kerana kedua-dua kami tewas kepada Bayern. Kami tidak boleh gagal lagi," katanya.

Ketika Inter sedang menduduki tangga kelapan Serie A, Barca pula kini berkongsi kedudukan dengan seteru utama, Real Madrid, di puncak LaLiga.

"Ia merupakan lonjakan moral penting dan ia memberikan kami keyakinan.

"Ia menunjukkan segala-galanya berada dalam keadaan baik tetapi perlawanan esok merupakan kisah berbeza.

"Kami akan turun dalam satu perlawanan selepas kami tidak dapat menjaringkan gol di Munich. Ia masa untuk kami menyerlah dalam kejohanan ini," katanya lagi.