Gerak pantas Kylian Mbappe terlalu sukar ditangani Juventus selepas bintang Paris Saint-Germain itu menjaringkan dua gol ketika PSG memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan persembahan dominan dalam kemenangan 2-1 ke atas Juventus.

Pada usia 23 tahun dan 260 hari, Mbappe menjadi pemain termuda yang menjaringkan 35 gol dalam pertandingan kelab terbaik Eropah, mengambil rekod itu daripada rakan sepasukannya, Lionel Messi.


PSG tidak pernah menewaskan Juventus dalam lapan pertemuan sebelum ini namu perlawanan terakhir mereka bermula pada tahun 1997, dan keadaan kini telah memihak kepada juara liga Perancis selepas dibarisi pemain bertaraf dunia ketika ini.

Mbappe dan rakan sepasukannya mengawal sepenuhnya sepanjang separuh masa pertama, dengan Neymar dan Messi mempamerkan aksi cemerlang dan hantaran yang mengagumkan.

Gerakan satu dua Mbappe dan Neymar menembusi gawang Juventus pada minit kelima sebelum Mbappe bergandingan dengan Achraf Hakimi untuk gol kedua pada minit ke-22.

Juventus mempunyai tempoh 10 minit yang baik pada separuh masa kedua selepas pemain tengah, Weston McKennie, mengurangkan defisit jaringan, namun PSG bertahan hinga tamat perlawanan untuk memastikan tiga mata.