MANCHESTER CITY 2 BORUSSIA DORTMUND 1

Pep Guardiola memuji gol kemenangan Erling Haaland buat Manchester City ketika bangkit menewaskan Borussia Dortmund 2-1 dalam perlawanan Kumpulan G, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Katanya, jaringan itu meningatkannya kepada aksi yang pernah dipamerkan Johan Cryuff dan Zlatan Ibrahimovic satu ketika dulu.

Penyerang Norway itu muncul wira pasukannya dengan menjaringkan gol kemenangan ke atas bekas kelabnya itu pada minit ke-84 -- golnya yang ke-13 hanya daripada lapan perlawanan sejak menyertai The Citizenz musim panas lalu.

"Mungkin orang yang mengenali saya tahu betapa besar pengaruh Johan Cryuff dalam hidup saya secara peribadi, seorang mentor dan dia menjaringkan gol yang luar biasa buat Barcelona ketika menentang Atletico Madrid di Camp Nou satu ketika dahulu," kata Guardiola dalam sidang media.

"Pada ketika Erling menjaringkan golnya, saya fikir ia agak mirip dengannya.

"Saya masih ingat rakan baik saya, Ibrahimovic, juga mempunyai kemampuan seperti itu untuk mengangkat kaki dengan amat tinggi dan Erling juga melakukan perkara yang agak sama seperti itu.

"Saya fikir ia berlaku secara semula jadi, dia elastik, fleksibel dan juga mempunyai kemampuan untuk melakukan sentuhan dan memasukkan bola ke dalam jaring. Saya fikir dia memiliki fleksibiliti seperti itu daripada ibu dan bapanya," katanya.

City gagal mendaftarkan sebarang percubaan tepat sepanjang babak pertama dan ketinggalan selepas Jude Bellingham menanduk masuk gol pembukaan buat Dortmund pada awal babak kedua.

John Stones, yang diletakkan di posisi pertahanan kanan, kemudian menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencangnya dari jarak 20 ela pada minit ke-80 sebelum Haaland melakukan penyudah akrobatik dengan melompat tinggi dan menguis bola ke gawang lawan pada minit ke-84 bagi memastikan kemenangan kedua City dalam kempen UCL musim ini.

*Kredit foto: Manchester City