CHELSEA 1 SALZBURG 1

Graham Potter berjanji bahawa Chelsea akan memperbaiki prestasi selepas memulakan eranya di Stamford Bridge dengan diikat 1-1 oleh Salzburg dalam perlawanan Kumpulan E, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Selepas dilantik sebagai pengurus baru The Blues kurang seminggu lalu, Potter, yang menggantikan Thomas Tuchel sebagai pemilik baru kerusi panas itu, tidak dapat memastikan kemenangan dalam perlawanan pertamanya sebagai pengendali pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, ia masih dilihat sebagai satu peningkatan selepas Chelsea tewas 0-1 kepada Dinamo Zagreb dalam perlawanan pertama UCL musim ini.

Raheem Sterling memecahkan kebuntuan buat Chelsea hanya selepas tiga minit babak kedua bersambung biarpun The Blues mendominasi hampir keseluruhan separuh masa sebelumnya.

Namun, gol penyamaan pemain gantian Salzburg, Noah Okafor, pada minit ke-75 memastikan kelab Austria itu tidak pulang dengan tangan kosong.

Potter, dalam pada itu, masih berpuas hati dengan persembahan pasukannya dan dia berkata kepada BT Sport: "Kami kecewa dengan keputusan ini.

"Saya fikir kesemua pemain sudah memberikan segala-galanya. Kami menjaringkan gol tetapi ada kekurangan dalam babak kedua tetapi saya fikir penjaga gol mereka telah melakukan beberapa aksi menyelamat yang baik.

"Ia seadanya, kami perlu meneruskan usaha kami. Perwatakan dan aplikasinya amat baik, kami akan menjadi lebih baik.

"Kami beberapa kali berhasil meletakkan Raheem dalam situasi satu lawan satu dan gol yang terhasil itu adalah daripada usaha berkenaan.

"Ia sentiasa menyakitkan hati apabila anda dibolosi. Secara keseluruhan, prestasi kami sewaktu bertahan agak baik, hanya terdapat sedikit perincian yang perlu diperbaiki," katanya.