REAL MADRID 2 CHELSEA 3
(Madrid ke separuh akhir dengan agregat 5-4)

Karim Benzema menanduk masuk gol dalam masa tambahan untuk memastikan Real Madrid ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) biarpun tewas 2-3 kepada Chelsea di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.

Gol daripada Mason Mount, Antonio Rudiger dan Timo Werner memadamkan kelebihan 3-1 Madrid daripada perlawanan pertama di Stamford Bridge minggu lalu tetapi Rodrygo kembali mengikat kedudukan agregat menerusi jaringan voli gemilangnya pada minit ke-80 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Benzema, yang menjaringkan hatrik dalam perlawanan pertama, memastikan laluan Madrid ke separuh akhir apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit keenam masa tambahan, sekali gus memberikan kelebihan agregat 5-4 buat Los Blancos.

Pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu kini akan bertemu sama ada Atletico Madrid atau Manchester City bagi penentuan ke final, di mana City bimbingan Pep Guardiola kini sedang mendahului 1-0 daripada pertemuan suku akhir pertama.