BAYERN MUNICH 1 VILLARREAL 1
(Villarreal ke separuh akhir dengan agregat 2-1)

Samuel Chukwueze menjaringkan gol dramatik pada lewat permainan bagi memastikan Villarreal berkelebihan 2-1 secara agregat untuk menyingkirkan Bayern Munich daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Nigeria itu masuk daripada bangku pemain simpanan untuk menjadikan kedudukan 1-1 berbaki dua minit terakhir perlawanan suku akhir kedua di Arena Allianz, sekali gus menghantar Yellow Submarine ke separuh akhir pertama sejak musim 2005-06.

Selepas ketinggalan satu gol dalam perlawanan pertama di gelanggang lawan, Robert Leandowski berhasil menyamakan kedudukan agregat buat Bayern menerusi golnya yang ke-13 dalam UCL musim ini pada awal babak kedua.

Bagaimanapun, Chukwueze memastikan kemenangan buat pasukan bimbingan Unai Emery itu menerusi penyudah daripada gerakan serangan balas pantas, yang dimulakan Giovanni Lo Celso, pada minit ke-88.

Seterusnya, Villarreal akan menantikan pemenang di antara Liverpool dan Benfica dalam satu lagi perlawanan suku akhir kedua bagi menentukan perebutan tempat ke final.