Thomas Tuchel berkata ia merupakan misi hampir mustahil untuk Chelsea mengelak tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tetapi mereka perlu mempunyai impian untuk bangkit menewaskan Real Madrid.

Gol hatrik Karim Benzema memberikan Madrid kelebihan 3-1 ke atas pasukan juara bertahan itu dalam perlawanan suku akhir pertama di Stamford Bridge minggu lalu.

Chelsea memberikan respons terhadap kekalahan itu dengan membelasah Southampton 6-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu manakala Madrid pula berada di landasan tepat untuk menjuarai LaLiga dengan menewaskan Getafe 2-0.

The Blues, yang akan turun tanpa Romelu Lukaku gara-gara kecederaan Achilles, mempunyai tugasan besar di Santiago Bernabeu awal pagi esok dan Tuchel bersikap realistik terhadap peluang pasukannya untuk ke separuh akhir.

Bagaimanapun, pengurus berbangsa Jerman itu menjangkakan pasukannya akan berjuang dengan lebih baik berbanding apa yang dipamerkan mereka di London minggu lalu.

Dia berkata: "Ia merupakan antara cabaran terbesar untuk dilalui sebagai satu pasukan di Bernabeu. Jika anda perlu menang dengan sekurang-kurangnya dua gol, ia amat sukar, amat mustahil. Kami perlu beraksi luar biasa."

Dia menambah: "Kami tidak pernah menggunakan input dan usaha kami sebagai peluang untuk mendapatkan keputusan yang baik, kami tidak pernah melakukannya dan tidak akan memulakan perlawanan esok dengan memberikan sesuatu yang kurang kerana ia amat mustahil untuk kami melakukannya.

"Ia mustahil tetapi kami akan mencuba, kami akan bermain sehingga batasan kami. Ia malam yang besar dan perlawanan yang besar dan kami akan mencuba untuk berada dalam keadaan lebih baik dan lebih baik berbanding perlawanan pertama.

"Kami hanya memerlukan skrip yang hebat. Tugasanya amat sukar selepas perlawanan pertama.

"Anda sentiasa dibenarkan untuk bermimpi dan adakalanya, adalah penting untuk membayangkan dan mengimpikan tentang beberapa perkara tetapi ia tidak mengubah fakta bahawa kami perlu bersedia untuk melakukannya.

"Kami akan berusaha dengan gigih, berbaloi untuk kami mencuba. Harap-harap kami dapat mencapai impian kami tetapi secara realistiknya, kami perlu banyak melabur," katanya.