Pep Guardiola menegaskan Manchester City tidak taasub untuk memenangi Liga Juara-Juara (UCL) apabila menafikan kejayaan menjulang trofi Eropah itu akan menentukan sama ada dia kekal di Stadium Etihad.

Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu telah memenangi empat daripada lima gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) terakhir dan amat mengidamkan kejuaraan Eropah menjelang kempen 2022-23 selepas merekrut Erling Haaland dan Kalvin Phillips.

Bagaimanapun, City masih kempunan untuk mengecapi kejayaan Eropah di bawah kendalian Guardiola apabila terkandas dalam separuh akhir UCL kepada Real Madrid musim lalu.

Begitupun, dia yang memasuki tahun terakhir kontraknya menegaskan ketiadaan gelaran UCL tidak akan mempengaruhi sebarang hala tuju masa depannya.

"Ia bukan tentang itu. Saya ingin memenanginya, ia bukan ketaasuban, ia adalah impian, satu sasaran yang boleh kami capai," katanya menjelang kunjungan ke West Ham, malam ini.

"Saya amat menyedari betapa bagusnya lawan dan betapa sukarnya saingan ini. Saya sudah katakan banyak kali, mungkin orang tidak percaya atau fikir saya mencipta alasan, saya tidak ke mari untuk memenangi UCL.

"Saya orang pertama yang mendambakannya, sama seperti di Munich. Di Barcelona kami memenanginya dua kali, saya mahu menang empat! 30 atau 40 musim ketika saya menjadi pengurus, saya mahu memenangi UCL setiap musim tetapi saya tidak berasakan bahawa ia merupakan satu kegagalan apabila kami tidak berjaya memenanginya.





"Kami terus mencuba, kami lebih dekat musim lalu, kami akan mencuba lagi musim ini.

"Saya berusaha meningkatkan pasukan untuk bermain lebih baik, ini adalah sebab utama saya di sini. Saya sedih kerana kami kehilangan trofi Perisai Komuniti, khususnya kami tidak beraksi seperti biasa.

"Satu-satunya perkara yang saya mampu lakukan adalah menjadikan pasukan ini beraksi lebih baik, untuk melihat pasukan, menonton di tepi padang dan berkata, 'Saya seronok'.

"Akibatnya ialah menang atau kalah, lambat laun kami akan tumbang juga dalam EPL. Tiada apa yang kekal, termasuk pasukan ini yang pernah melakukan banyak perkara menarik dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Untuk memenangi empat gelaran EPL dalam tempoh lima tahun adalah sesuatu luar biasa.

"Kami boleh meningkat. Kami boleh melakukan yang lebih baik lagi, inilah satu-satunya sebab saya di sini. Saya tidak akan pergi dari sini dengan mengatakan 'Saya perlu memenangi EPL, apa yang berlaku jika saya terlepas?' "