Bekas penyerang AC Milan dan Chelsea, Andriy Shevchenko, yakin Rossoneri akan memperoleh kemenangan menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Khamis ini.

Shevchenko berasakan satu aksi menarik akan disajikan oleh kedua-dua bekas pasukannya itu di Stamford Bridge dengan berkata: "Milan bermain bola sepak yang baik, mereka berkeyakinan, mereka bermain dengan keamatan tinggi dan menguruskan perlawanan dengan amat baik.

"Mereka memiliki kualiti yang boleh menjadi pemisah.

"Milan bermain bolasepak moden yang amat digemari ramai, mereka bermain secara menyerang tetapi mereka juga tahu bagaimana untuk mengawal situasi dalam permainan.

"Suasananya akan menjadi amat tegang. Chelsea memerlukan kemenangan dan akan meningkatkan rentak mereka tetapi Milan memiliki pemain berkualiti.

"Ia akan menjadi perlawanan yang istimewa buat Giroud, yang pernah bermain untuk Chelsea.

"Dia sedang melakukannya dengan amat baik, dia akan menjadi tumpuan dalam perlawanan ini," katanya.