JUVENTUS 1 BENFICA 2

Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, enggan meletakkan jawatannya selepas pasukan itu tewas 1-2 kepada Benfica dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Turin awal pagi tadi.

Kekalahan itu juga menyaksikan Bianconeri terperosok di tangga ketiga Kumpulan H dengan dua kekalahan daripada dua perlawanan.

Juve juga gagal mencatatkan kemenangan dalam empat perlawanan terakhir, di mana mereka seri dua kali dalam saingan Serie A selain dua kekalahan dalam UCL.

Aksi di Stadium Allianz kali ini menyaksikan Arek Milik terlebih dahulu meletakkan pasukan bimbingan Allegri itu di depan seawal minit keempat sebelum sepakan penalti Joao Mario (m-43) dan jaringan David Neres (55) memastikan kebangkitan pelawat untuk meraih kemenangan kedua daripada dua perlawanan peringkat Eropah.

Selepas perlawanan itu, Allegri ditanya sama ada dia sebahagian daripada masalah atau penyelesaian di kelab itu dan dia berkata: "Saya rasa saya sebahagian daripada penyelesaian, saya perlu mencari penyelesaiannya.

"Ketika saya kembali ke kelab ini, saya sudah jangka saya akan memerlukan masa untuk membina pasukan ini.

"Malangnya, saya tidak jangka kami akan tewas dua perlawanan beturut-turut.

"Perkara paling penting adalah bermain dengan baik dan kekal bersaing dalam UCL. Kekalahan ini menjengkelkan tetapi tiada guna lagi untuk bercakap banyak ketika ini."

Allegri menambah: "Saya sudah memberitahu pasukan ini bahawa momen seperti ini akan berlaku dalam bola sepak.

"Kami perlu menghadapinya sebagai satu pasukan, kami perlu ada rasa bertanggungjawab.

"Kami memiliki satu perlawanan penting untuk dihadapi berdepan Monza dan selepas itu, kami boleh memikirkan mengenai saingan Eropah.

"Ia pasti akan menjadi rumit tetapi bukan selamanya kami kalah," katanya lagi.