Thomas Tuchel berkata dirinya ibarat 'remuk-redam" apabila dipecat daripada jawatan pengurus Chelsea dalam satu kenyataan rasmi pertama yang dikeluarkannya sejak meninggalkan Stamford Bridge.

Pengurus berbangsa Jerman itu, yang menyertai The Blues pada Januari 2021, menerima tamparan hebat itu berikutan kekalahan mengejutkan Chelsea kepada Dinamo Zagreb dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) minggu lalu sebelum tempatnya digantikan oleh Graham Potter dari Brighton & Hove Albion.

Selepas pemergiannya, Tuchel menggunakan platform media sosial untuk meluahkan perasaannya dan mengucapkan terima kasih kepada pemain dan staf Chelsea.

"Ini adalah kenyataan yang paling sukar perlu saya buat -- dan yang saya berharap tidak perlu lakukannya untuk beberapa tahun ini," tulis Tuchel dalam Twitter.


"Saya remuk-redam apabila menyedari waktu saya bersama Chelsea sudah sampai ke penghujungnya.

"Ini adalah kelab yang saya berasakan seperti rumah saya, sama ada secara profesional atau secara peribadi.

"Terima kasih banyak buat semua staff, pemain dan penyokong yang membuatkan saya berasa dialu-alukan sejak hari pertama.

"Kebanggaan dan kegembiraan yang saya rasakan untuk membantu pasukan ini memenbangi UCL dan Piala Dunia Kelab akan kekal bersama saya selamanya.

"Saya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini dan kenangan sepanjang 19 bulan lalu akan sentiasa mendapat tempat yang istimewa di hati saya," katanya.

Di bawah bimbingan Tuchel, Chelsea memenangi UCL, Piala Super UEFA, Piala Dunia Kelab dan dua kali menjadi naib juara Piala FA.