Thomas Tuchel telah meluahkan minatnya untuk mendapatkan Ousmane Dembele di sebalik laporan bahawa pemain Barcelona itu kini sedang berada dalam radar Chelsea.

Dembele kelihatan akan meninggalkan Barca selepas perbincangan mengenai kontraknya berakhir mengecewakan.

Pemain sayap Perancis itu memberikan amaran buat pasukan gergasi Catalan berkenaan bahawa dia "tidak akan tunduk terhadap sebarang ugutan" selepas Pengarah Barcelona, Mateu Alemany, mengarahkannya untuk mencari kelab lain secepat mungkin.

Kontrak Dembele bersama Blaugrana akan tamat pada penghujung musim ini dan Alemany berkata bahawa dia menjangkakan pemain berusia 24 tahun itu akan berpindah sebelum tamat jendela perpindahan bulan ini kerana mereka hanya mahukan pemain yang komited dengan projek mereka.

Tuchel antara individu paling awal mengesan bakat Dembele sewaktu mengemudi Borussia Dortmund dalam musim 2016-17 sebelum bekas pemain Rennes itu menyertai Barca dengan perpindahan bernilai €105 juta (RM498.81 juta).



Dan ketika Tuchel seakan-akan cuba menahan daripada meluahkan minatnya untuk mendapatkan Dembele, pengurus Chelsea berkenaan mengakui kemampuan yang dimiliki bekas pemainnya itu.

"Dia seorang pemain yang amat bagus apabila dia berada di tahap terbaik. Saya amat bertuah dapat melatihnya di Borussia Dortmund.

"Ia hanya setahun; ia sepatutnya lebih panjang. Saya perlu pergi dan dia juga perlu pergi. Sejak itu, kami tidak berhubung rapat.

"Kami bertemu di beberapa tempat kerana dia mempunyai tugas bersama pasukan kebangsaan Perancis dan sudah pasti saya berada di Paris, jadi ia hanya sewaktu mereka bersiap sedia bagi tugasan antarabangsa," katanya.

Chelsea akan berdepan Tottenham dalam aksi 'derby' Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi Isnin ini.