Newcastle United selesai menandatangani Kieran Trippier daripada Atletico Madrid dengan kesepakatan selama dua setengah tahun.

Pemain kebangsaan England itu merupakan pembelian pertama di St James' Park sejak dimiliki oleh hartawan dari Arab Saudi pada Oktober lalu.

Trippier tiba dengan tanda harga yang dilaporkan sekitar £12 juta (RM68.67 juta) beserta bayaran tambahan.

Dia kembali menyertai Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dua setengah tahun berkelana ke Sepanyol bersama Atletico Madrid, di mana dia sebelum itu turut pernah mewakili Tottenham dan Burnley dalam liga divisyen utama England.

Pertahanan sayap itu diharapkan dapat memperkuatkan benteng Newcastle dan membantu mereka untuk keluar daripada zon penyingkiran -- The Magpies hanya memenangi satu perlawanan liga musim ini untuk menduduki tangga ke-19 dan dibezakan dua mata daripada zon selamat.

Ia menyaksikan pemain berusia 31 tahun itu akan sekali lagi berkhidmat di bawah bimbingan Eddie Howe selepas turut pernah bekerjasama di Turf Moor pada 2012.

"Saya gembira dapat menyertai kelab yang hebat ini. Saya benar-benar menikmat waktu saya di Madrid tetapi apabila saya menyedari minat yang diberikan Newcastle United dan pernah bekerjasama dengan Eddie Howe sebelum ini, saya tahu saya mahu menyertainya," kata Trippier dalam laman web rasmi pasukan itu.

"Saya sedar ada tugasan besar sedang menanti kami tetapi saya tahu keperluan dalam EPL dan saya tahu betapa hebatnya kelab dengan pemain yang amat berbakat ini.

"Saya tidak sabar untuk bermula dan saya teruja untuk turun ke St James' Park sebagai pemain Newcastle," katanya.