Beberapa langkah pencegahan wajar dilaksanakan oleh semua pemegang taruh bola sepak tempatan bagi memastikan tragedi di Malang, Indonesia yang mengorbankan lebih 120 peminat tidak berlaku di Malaysia.

Selain kerjasama erat yang sedia terjalin antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), kempen kesedaran serta kewujudan pasukan keselamatan stadium adalah antara perkara yang boleh diperkenalkan bagi mencegah sebarang kejadian tidak diingini.

Pemerhati bola sepak tempatan, Rizal Hashim, menggesa agar semua pemegang taruh membincangkan aspek keselamatan secara holistik tanpa bergantung 100 peratus kepada PDRM.

Bagi membanteras samseng bola sepak yang boleh membawa kepada rusuhan, pemegang taruh digesa menggunakan teknologi termasuk kamera litar tertutup di dalam dan luar pekarangan stadium, selain bekerjasama menganjurkan kempen anti-keganasan.

“FAM dan MFL boleh memulakan perbincangan dengan PBT dan pemilik stadium bagi memastikan setiap stadium di negara ini dilengkapi dengan kamera litar tertutup.

“Pengurusan stadium juga mesti ada struktur organisasi yang mengutamakan keselamatan dan pelan evakuasi di bawah seliaan ketua pegawai keselamatan yang dilantik pihak stadium.

“Bagi mewujudkan kesedaran, elok kita adakan kempen antisamseng dan keganasan sebagai peringatan mesra kepada peminat untuk sentiasa berkelakuan baik ketika menonton bola sepak di stadium,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden rusuhan penyokong bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur pada Sabtu yang mengorbankan kira-kira 129 orang.

Insiden itu berlaku ketika penonton yang panik cuba melarikan diri dari stadium yang penuh sesak sehingga berlaku kekecohan serta rempuhan sesama mereka selepas polis melepaskan gas pemedih mata.

Difahamkan, pihak polis bertindak sedemikian bagi menyuraikan penonton daripada penyokong pasukan tuan rumah, Arema FC, yang berlari ke padang pada penghujung perlawanan.

Dalam pada itu, Rizal percaya peminat dan penyokong bola sepak Malaysia secara umumnya matang dan terbuka selain tidak mudah terikut-ikut dengan emosi sehingga menyebabkan pergaduhan.

“Saya percaya penonton bola sepak kita secara umum tidak terikut emosi sehingga merusuh. Biarpun rancak bertekak dalam media sosial, saya percaya penyokong bola sepak tempatan matang dan waras,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian