Andros Townsend menjelaskan gayanya ketika meraikan gol ketika Everton mengikat Manchester United 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford malam tadi adalah sebagai tanda hormatnya kepada Cristiano Ronaldo dan bukannya satu sindiran.

Townsend menjaringkan gol penyamaan dalam babak kedua di Old Trafford untuk The Toffees merampas satu mata daripada perlawanan itu.

Pemain sayap itu menyudahkan serangan balas pantas pelawat pada minit ke-65 dengan menerima hantaran Abdoulaye Doucoure sebelum menewaskan penjaga gol United, David de Gea.

Townsend kemudian meraikan jaringannya dengan gaya yang persis dilakukan Ronaldo selama ini.

Bagaimanapun, bekas penyerang Crystal Palace berkenaan berkata keraian seperti itu adalah bertujuan untuk menunjukkan rasa hormatnya terhadap idolanya, Ronaldo.

"Bukan meniru, ia adalah lambang penghormatan saya kepada seorang pemain yang mempengaruhi karier saya," katanya kepada BT Sport.

"Saya menghabiskan berjam-jam di padang latihan dan di bilik video untuk mengkaji sepakan percumanya dan langkah-langkah yang diambilnya selain cara dia mendedikasikan dirinya kepada bola sepak.

"Jadi, ia bukannya meniru, ia adalah lambang pernghormatan saya buat idola saya.

"Saya mungkin tidak melakukan gaya itu dengan cukup baik," katanya.