BARCELONA 4 OSASUNA 0

Pengurus Barcelona, ​​Xavi, mengulangi pendirian bahawa dia sama sekali tidak pernah meragui keupayaan Ferran Torres yang mula menyinar bersama Barcelona selepas pemain antarabangsa Sepanyol itu meledak dua gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Osasuna.


Pemain berusia 22 tahun itu sekadar menyumbangkan satu gol dalam enam penampilan LaLiga sejak dibeli daripada Manchester City, tetapi awal pagi tadi dia menemui dua sentuhan berbisa untuk melonjakkan Blaugrana ke tempat ketiga.

Jaringan pertamanya terhasil melalui sepakan penalti selepas Gavi dikasari di kawasan kotak penalti dan dia menokok gol kedua dengan cukup tenang ketika menerima umpanan Ousmane Dembele.

Gol berganda itu -- pencapaian pertamanya dalam 78 penampilannya LaLiga -- disempurnakan daripada hanya empat percubaan dan sebelum ini pemain berusia 22 tahun tersebut sekadar mencetak satu jaringan daripada 16 percubaan sebelum ini.

Sehubungan itu, Xavi gembira dengan sumbangannya dan menegaskan dia tidak pernah sangsi bahawa Torres akan segera serasi di Camp Nou.

"Saya pernah mengatakan bahawa gol Ferran akan menyusul; cuma menunggu masa," katanya kepada pemberita.

“Segala usaha yang dicurahkan termasuk gerakan di bahagian depan membuahkan hasil.

"Saya sempat berpesan kepadanya kerana kadang-kadang dia tidak bernasib baik di depan gol tetapi hebat dalam aspek lain. Di dalam pasukan ini dia antara yang terbaik ketika di ruang kecil."




Pencapaian Barca -- kini menang 12 daripada 14 perlawanan LaLiga terakhir di tempat sendiri itu -- turut ditunjangi jaringan Pierre-Emerick Aubameyang dan Riqui Puig.

Gol Aubameyang juga diilhamkan oleh Dembele -- lima bantuan jaringan dalam empat perlawanan LaLiga terakhir -- dan gandingan itu cukup memuaskan hati Xavi yang tidak berselindung untuk menjelaskan kepentingan pemain Perancis tersebut.

"Dembele merupakan seorang pemain yang mampu membuat perbezaan melalui jaringan, umpanan dan menyusup ke dalam kawasan kotak penalti. Hari ini dia beraksi dengan sangat bagus," tambahnya.

"Jika dia beraksi, dia akan menggembirakan peminat. Orang ramai melihat bahawa pemain sanggup menggadaikan nyawa mereka demi Barca dan anda tidak boleh menipu orang ramai. Anda tidak boleh menipu Camp Nou."

Keputusan itu bermakna Barca memanjat ke tangga ketiga dan ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Real Madrid, yang akan dihadapi dalam pertembungan 'El Clasico' di Santiago Bernabeu Isnin depan.