Mohamed Elneny telah mendedahkan keputusan Mikel Arteta melepaskan khidmat kapten, Pierre-Emerick Aubameyang, musim lalu membuatkan pasukan dalam 'ketakutan'.

The Gunners berpisah dengan pemain antarabangsa Gabon Januari lalu, melepaskan penyerang itu ke Barcelona selepas masalah disiplin di Stadium Emirates, tetapi sejak itu menyaksikan penyerang itu kembali ke Liga Perdana Inggeris (English Premier League) bersama Chelsea.

Skuad kendalian Arteta bakal berdepan Aubameyang minggu ini ketika mereka mahu mengekalkan kedudukan selaku pendahulu liga berdepan The Blues dan tidak akan ragu-ragu tentang ancaman yang dihadirkan pemain itu.

Aubameyang menjaringkan 92 gol sepanjang empat tahun di London, menjulang Piala FA pada 2019-20, dan keputusan Arteta melepaskan penyerang itu mencetus kontroversi.

Pilihan itu telah terbukti wajar dilakukan selepas Arsenal menyerlah musim ini.

Ditanya sama ada itu adalah saat di mana Arteta menggunakan kuasanya kepada skuad, Elneny berkata, "Seratus peratus. Sekarang semua orang melihat diri mereka sendiri kerana Mikel melakukan itu kepada kapten pasukan, jadi apa yang dia akan lakukan dengan pemain lain?

"Ini menunjukkan bahawa sekarang kami tidak boleh bermain-main, sekarang kami perlu tenang dengan pasukan. Cara pasukan ini beraksi, kami harus bersatu, bukan melakukan sesuatu yang berbeza.

"Kami bersetuju dengan apa yang diputuskan Mikel kerana dia adalah bos kami, dan kami hanya perlu bersetuju apa visinya untuk kami. Saya fikir ia menyatukan kami kerana sekarang semua orang dalam ketakutan. Semua orang takut dengan kedudukan mereka kerana ini berlaku kepada Aubameyang.

"Kami tidak membenarkan ego dalam pasukan. Ini adalah bilik persalinan yang kami ada sekarang. Semua orang menyayangi antara satu sama lain dan semua orang berusaha untuk satu sama lain. Inilah yang sebenarnya menjadikan skuad kami benar-benar kuat, kerana kami tidak mempunyai ego dalam pasukan."