Biarpun terlepas peluang untuk mengisi slot ke saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023 setelah menamatkan saingan Liga Super 2022 di kedudukan ketiga, Sabah FC masih berpeluang berbuat demikian dengan muncul juara Piala Malaysia 2022.

Justeru, menurut pengendali skuad The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee, pihaknya akan cuba sedaya upaya bagi mencapai matlamat berkenaan.

“Masih ada Piala Malaysia untuk dilalui dan kami akan cuba untuk mencapai matlamat seberapa jauh boleh pergi (mara) kali ini.




“Kalau ikutkan sasaran pihak pengurusan adalah lima teratas, tetapi saya ada sasaran tersendiri untuk dicapai iaitu layak ke Piala AFC. Kami akan terus berusaha bagi merealisasikan sasaran berkenaan pada tahun hadapan.

“Apa pun, secara keseluruhannya, saya memang tidak berpuas hati selagi tak masuk (Piala) AFC,” katanya.

Sabah FC menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketiga dengan 42 mata setelah tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zaim (JDT) di Stadium Sultan Ibahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad The Rhinos dipintas Terengganu FC dengan 44 mata hasil kemenangan 3-1 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar, manakala Negeri Sembilan FC tewas 0-2 kepada Sri Pahang FC di Stadium Darulmakmur, Kuantan.





Mengulas aksi berdepan JDT, Kim Swee mengakui kekurangan pilihan di bangku simpanan yang dilihat menjadi faktor utama kepada kekalahan 0-3 Sabah FC.

Lantas, katanya pihak pengurusan merancang untuk membawa masuk ramai pemain bagi mengharungi cabaran lebih getir musim hadapan.

“Bukan mudah main dengan JDT di Stadium Sultan Ibrahim lebih-lebih lagi apabila beraksi tanpa ramai pemain utama yang menyebabkan kami tak dapat beraksi seperti biasa.

“Bagi saya, mereka (JDT), berhak menang,” katanya.

Kredit: Sinar Harian