Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar, menafikan bahawa pemain naturalisasi akan sentiasa mendapat slot automatik dalam skuad kebangsaan.

Katanya, pemilihan pemain akan sentiasa berdasarkan prestasi semasa yang akan dinilai oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, bagi memastikan hanya pemain terbaik layak mewakili negara.

Sebagai rekod, Malaysia kini memiliki tiga pemain naturalisasi, iaitu Mohamadou Sumareh (Gambia), Guilherme De Paula (Brazil) dan Liridon Krasniqi (Yugoslavia).

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, Saifuddin berkata: "Kami tidak memberikan slot tetap kerana daripada segi pemilihan pemain, tiada sebarang campur tangan daripada pihak atasan.

"Kami memberikan kebebasan kepada ketua jurulatih untuk memilih pemain kerana dia lebih mengetahui dan dia yang akan mengendalikan pasukan.

"Ini supaya ketua jurulatih tidak memiliki sebarang kekangan untuk memilih pemain," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mengesahkan bahawa FAM sudah memulakan langkah untuk membida status tuan rumah bagi kumpulan yang akan disertai skuad negara dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun tahun depan.

Ia selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa pusingan kelayakan itu akan dijalankan secara berpusat menggunakan format ‘single round robin’.

"Kami sudah memulakan langkah menerusi perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan kami juga telah menghantar surat permohonan kepada badan-badan yang sepatutnya.

"Kami tidak mahu menunggu sehingga tarikh bidaan itu dibuka, kami memohon dahulu dan seandainya kita berpeluang untuk menjadi tudan rumah, kami akan memulakan persiapan dengan lebih awal," katanya lagi.