Tiada lagi jersi nombor 16 di Los Angeles Lakers bermula tahun depan sebagai tanda penghormatan buat pemain legenda Sepanyol, Pau Gasol.

Susulan itu, satu majlis akan diadakan pada 7 Mac 2023 sewaktu Lakers melayani kunjungan Memphis Grizzlies.

Gasol mewakili Lakers dari 2008 hingga 2014 selepas tiba dari Memphis. Dia turut tampil dalam tiga Final NBA dan memenangi dua gelaran sepanjang beraksi bersama Kobe Bryant.

Tiga daripada enam penamnpilan All-Starnya adalah sewaktu dia berada di Los Angeles sebelum meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Chicago Bulls pada 2014.

Selepas beberapa ketika bersama San Antonio Spurs dan Milwaukee Bucks, Gasol kemudian kembali ke Eropah untuk bersama Barcelona -- kelab di mana kariernya bermula -- sebelum mengumumkan persaraannya pada Oktober lalu (ketika berusia 41 tahun).

Selepas pengumuman itu, Gasol meluahkan rasa berterimakasihnya dalam satu ciapan Twitter dengan berkata: "Lebih daripada berterima kasih dan amat berbesar hati."