Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) setakat ini menerima tajaan berjumlah RM9 juta melibatkan 15 syarikat bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh, berkata pihaknya juga telah membelanjakan sebanyak RM23j bagi menguruskan dua pasukan utama dan akademi bola sepak TFCSB musim lalu.

Bagaimanapun, perbelanjaan tersebut dijangka meningkat sehingga RM28j musim ini iaitu peningkatan antara 20 hingga 30 peratus memandangkan jumlah perlawanan Liga-M yang bertambah dan juga saingan Piala AFC.

Beliau berkata demikian dalam majlis memeterai perjanjian penajaan 2023 dengan syarikat Sabasun HYPErRUNCIT Sdn Bhd di Pejabat TFCSB, semalam.




Turut hadir Ketua Pegawai Operasi TFCSB, Sabri Abas dan Pengarah Urusan, Sabasun HYPErRUNCIT, Che Salmi Che Ibrahim.

Ab Rashid berkata, selain tajaan, TFCSB turut memfokuskan kepada aktiviti penjanaan pendapatan melalui jualan jersi dan cenderamata, kutipan tiket perlawanan serta pas keahlian bermusim bagi menampung perbelanjaan musim ini.

Kredit: Sinar Harian