Terengganu FC dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan bahawa Nafuzi Zain akan dikekalkan selaku ketua jurulatih pasukan itu bagi musim 2022.

Terengganu, dalam satu kenyataan di laman web rasmi mereka sebentar tadi berkata: "Melalui Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd hari ini, yang telah dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, beberapa perbincangan dan keputusan telah diputuskan berkenaan persediaan pasukan musim hadapan termasuk status ketua jurulatih pasukan Terengganu FC.

"Melalui mesyuarat ini, keputusan bagi mengekalkan pengendali Terengganu FC musim 2021, Encik Nafuzi Zain, bagi saingan musim hadapan telah dipersetujui.

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira banyak aspek termasuk pelan persediaan musim 2022 telah dipersiapkan termasuk senarai pemain yang akan bersama dan akan dilepaskan kelab ini bagi saingan musim hadapan.

"Bagaimanapun, keputusan ini bergantung kepada bakal pengendali Terengganu FC itu, sama ada beliau menerima atau menolak tawaran yang diberikan.

"Pihak pentadbiran berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pengendali Terengganu FC itu disamping mengharapkan prestasi pasukan Terengganu FC akan terus meningkat bertepatan dengan aras pencapaian yang telah ditetapkan bagi musim 2022 dan persiapan rapi pasukan-pasukan Liga Super yang lain."

Sebagai rekod, Nafuzi membimbing Terengganu menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat sebelum layak ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.