Terengganu berdepan situasi hidup dan mati apabila tidak memiliki banyak pilihan selain mencari kemenangan sekurang-kurangnya 3-0 bagi memadam kelebihan Selangor, seterusnya mengisi slot final Piala Malaysia 2022.

Tanpa ayam tambatan import, Kpah Sherman, yang digantung perlawanan menjelang pertemuan separuh akhir malam esok, tugas memburu jaringan bakal disandarkan kepada Petrus Shitembi yang akan membuat penampilan pertama di pentas itu musim ini.

"Saya rasa Selangor (akan ambil pendekatan) konservatif, mereka akan cuba bertahan.

"Tapi bagi kami apa yang lebih penting mematuhi taktikal yang diterapkan jurulatih.

"Kami bersemangat untuk perlawanan esok dan cuba mendapatkan jaringan awal, sekali gus menjadikan perlawanan berlangsung menarik," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.




Dalam masa sama, ketua jurulatih skuad Peteh, Nafuzi Zain, memberi amaran kepada nak buahnya supaya tidak mengulangi kesilapan sama di bahagian pertahanan.

"Esok ibarat final bagi kami. Satu cabaran yag agak besar, kami ketinggalan 1-3.

"Ia keputusan yang kami sendiri tidak jangka, kami melepaskan tiga gol menerusi bola pegun, itu yang memeranjat kami, sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Kami harap ia diperbaiki malam esok, kami perlu berikan yang terbaik sempena perlawanan terakhir di laman sendiri musim ini.

"Saya mengharapkan sokongan semua agar hajat ke final tercapai," katanya dalam persiapan di Kuala Terengganu hari ini.